Wednesday, March 10, 2010

KADAR CAJ WAD KERAJAAN DIMANSUHKAN???




TERIMA KASIH saya nak ucapkan kepada kerajaan kerana mengumumkan sekali lagi berita gembira kepada pegawai kerajaan dan pesara. Setelah selama ini golongan itu terpaksa membayar wad hospital kelas pertama dan kedua, kini semuanya percuma. Buat masa ini wad yang percuma hanya kelas ketiga.
Sekurang-kurangnya ia banyak membantu terutamanya kepada penjawat awam yang terpaksa tinggal lama di wad.


Langkah yang diambil itu menunjukkan kerajaan amat prihatin dengan kebajikan kakitangannya. Walaupun caj wad bagi kelas pertama di hospital kerajaan adalah sangat rendah berbanding dengan hospital swasta, namun ia masih dianggap membebankan.
Apa sekali pun, saya menganggap pemansuhan itu sebagai satu pengiktirafan kerajaan kepada para pegawainya.


Buat masa ini wad kelas pertama mengikut kelayakan ialah dari RM3 ke RM10 sehari dan pesara dari RM1.50 ke RM5. Berbanding dengan caj ke atas orang awam iaitu dari RM40 ke RM80 sehari. Mereka yang akan mendapatkan faedah daripada pengumuman baru kerajaan ini membabitkan 1,253,026 penjawat awam yang masih berkhidmat dan juga 528,583 pesara.


Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam berkata, menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2010 yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam, pemansuhan itu turut melibatkan anggota keluarga dan ibu bapa mereka.
Bagaimanapun, kata beliau, bagi pesara pula, ia hanya tertakluk kepada penerima pencen iaitu isteri serta anak-anak dan tidak melibatkan ibu bapa.
“Pemansuhan bayaran wad itu juga tidak menjejaskan kelayakan wad yang ditetapkan untuk pegawai berdasarkan gred pegawai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Menurutnya, kelayakan wad untuk pegawai pengurusan tertinggi, Gred 45-54 ialah Kelas 1 bilik seorang (RM10 sehari), Gred 31-44 (Kelas 1 bilik berdua iaitu RM8 sehari), Gred 21-30 (Kelas 1 bilik bertiga iaitu RM6 sehari) dan Gred 1-20 (Kelas 2) iaitu RM3 sehari. Kata beliau, kelayakan untuk anggota keluarga dan ibu bapa adalah berdasarkan kelayakan yang ditetapkan kepada pegawai awam berkenaan.
Kelayakan wad untuk pesara dan anggota keluarga mereka pula adalah berdasarkan gred hakiki terakhir pegawai sebelum bersara.

2 comments: